BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 2, 2009

CERMIN MATA DALAM ARUS KENCANG

Othman Puteh


‘NAK ke seberang sana?’ bertanya. Muka tuanya dilangutkan dari bawah.

‘Ya. Nak ke rumah Suhaimi kejap!’

‘Tak ada jambatan di sini. Susah, skuter tu tak boleh bawak. Kalau nak pergi juga, kena bersampanlah.’

‘Nampaknya begitulah!’

‘Mohlah. Kebetulan Wak pun nak ke sana nengok cucu,’ ajaknya.

Tanpa bertangguh lagi, segera aku mengunci skuter di bawah pohon tembusu. Tebing sungai yang tinggi mencuram dituruni. Berhati-hati benar kakiku memijak lekuk-lekuk tanah yang diteres merupai anak-anak tangga.

‘Baik-baik turun tu cikgu!’

‘Deras jugak arus sungai ni, ya Wak!’ kataku bila sudah berada di sampan. Sampan itu kecil dan leper benar. Cuma beberapa jari saja lagi air boleh memasukinya. Gerun juga hati melihat pusaran arus kencang yang keruh itu.

‘Semalam lagi deras airnya, cikgu.’ Wak Mardi bersedia mahu menolak sampan dengan pengayuh ditekankan ke tebing sungai.

‘Beginilah selalunya bila hujan lebat di hulu!’ katanya kemudian.

Sampan sudah meluncur laju kini. Akan tetapi arus sungai amat cepat menghanyutkan sampan yang kami naiki itu. Tiba-tiba saja rasa bimbang mendatangi diriku. Aku tidak tau berenang. Dan kalau karam bagaimana? Oh! Cukupkah kekuatan dan kecekapan Wak Mardi melawan arus sungai yang menggila-gila ini? Bisikku, serta-merta air mukaku berubah pucat.

‘Ha! Ha! Tak usah bimbang, cikgu,’ katanya dalam ketawa. Dia kelihatan amat tenang dan bersahaja sekali. ‘Wak dah biasa bermain dengan arus sungai begini.’

Betapa tebal mukaku mendengarnya, tidak dapat dibayangkan. Di bawah sedar, kuakui kekurangan diriku ini, dengan susah payah kutenangkan rasa gusar yang mendamba dada. Sudahnya aku akur juga. Benarlah, Wak Mardi memang cekap orangnya. Kami selamat ke seberang yang dituju.

‘Apa halnya cikgu nak ke rumah Suhaimi tu?’ Sampan ditambatkan ke akar jejawi yang terbongkar menjelir dari tebing sungai.

‘Nak menengok keadaan sebenarnya!’

‘Dia tak datang sekolah? Murid cikgu ya?’ bertalu-talu pula pertanyaan tiba.

Aku angguk cuma.

‘Sakit agaknya tak?’

‘Boleh jadi. Tu sebab saya nak nengoknya,’ balasku. Tetapi tidak kunyatakan padanya cerita yang kudengar di sekolah pagi tadi. Kerana menurut kawan-kawan sedarjahnya, Suhaimi ada di rumah. Duduk-duduk rumah. Duduk-duduk saja tak sakit pun.

‘Suhaimi tu baik budaknya, cikgu. Selalu dia tolong Wak. Kadang-kadang ngikut Wak memancing atau menjala. Tapi kesian, cikgu!!’ mulutnya berdecit-decit beberapa kali.

‘Ngapa Wak?’ menyoal. Kaget tiba-tiba.

‘Matanya, Wak kesian nengok matanya tu.’

Terdiam aku. Ya, mata Suhaimi. Sepasang mata anugerah dari Yang Maha Esa itulah yang kuagak menyebabkan dia tidak datang ke sekolah. Jika benarlah itu puncanya, tentulah ada kaitannya pula dengan kejadian di sekolah minggu lalu.

Wak Mardi menunjukkan arah ke rumah Suhaimi. Kemudian kami pun berpecah jalan. Wak Mardi ke selatan. Dan aku dengan langkah tetap menuju ke barat daya. Sekali-sekala aku melompat becak-becak yang terdapat di lorong kecil itu. Dan badan mulai berpeluh panas.

Aku tiba di pinggir sebuah kawasan tanah lapang kini. Sebuah rumah pisang sesikat, berdinding bertam berada di mukaku. Seorang budak sedang duduk di tangga menatap buku. Boleh jadi sedang membaca dia. Atau barangkali juga melihat gambar-gambar cuma. Tetapi buku itu diangkat tinggi dan rapat benar hingga menutup mukanya.

Tentu Suhaimi! Demikian aku meramal dari jauh.

Sementara di belakang rumah, tidak jauh dari para-para kacang panjang; dua orang perempuan sedang mengayun cangkul.

Bila sudah dekat tangga, aku buat-buat batuk kecil. Budak itu segera panggung kepala. Buku segera diletakkan ke samping. Dan sungguhlah Suhaimi. Seperti biasa dapat kulihat mata hitamnya bergerak-gerak hampir bertemu di pangkal batang hidungnya yang kemik. Kepalanya terteleng-teleng seolah-olah mahu mendapat letak pandangan yang sesuai. Jelas.

‘Apa buat?’ tegurku.

Dia gugup tiba-tiba. Suara parau itu amat dikenali benar. Dan wajahku juga sudah dipandang nyata.

‘Ooo, cikgu!’ sambutnya lalu turun tangga.

‘Marilah naik, cikgu!’ ajaknya. Kemudian dia memanggil emaknya.

Kedua-dua perempuan itu berhenti dari melambuk tanah, berpaling sambil mengesat peluh di dahi. Kelihatan perempuan tua itu bercakap sesuatu pada yang seorang lagi yang daranya. Cangkul diletakkan. Emak Suhaimi datang merapati aku yang masih tercegat.

‘Saya ni datang ganggu mak cik pulak,’ ujarku dengan tersengih-sengih.

Dia ketawa-ketawa. Anak gadisnya sudah pun meloncat naik ke rumah ikut tangga dapur.

‘Anak ni, cikgu Suhaimikah?’ bertanya.

‘Saya.’

‘Suhaimi, kan mak dah kata. Kau degil. Tak mahu jugak pergi sekolah,’ ujarnya kepada Suhaimi seolah-olah menyesali sikap anaknya.

Suhaimi jadi serba salah. Kudapati dirinya rasa tertekan dengan kata-kata emaknya. Dan daripada emaknya dia memandang aku pula. Mata hitamnya makin galak bergerak-gerak. Aku senyum seolah-olah mahu menenangkan suasana. Suhaimi menunduk.

‘Jemput ke atas, cikgu!’ pelawanya kemudian. Dan ke anaknya pula. ‘Suhaimi, ajak cikgu kau naik. Mak nak ke dapur basuh tangan kejap.’

Emak Suhaimi terus ke belakang. Aku dan Suhaimi naik dari muka rumah. Suhaimi yang mendahului aku terus menyambar buku yang terletak itu. Sempat mataku memerangkap tajuk buku cerita itu.

Suhaimi mencapai gulung tikar yang dihulurkan oleh kakaknya dari dapur. Dibentangkan dan kami duduk.

‘Rajin awak membaca buku di rumah, Suhaimi!’ pujiku terang-terangan.

‘Buku pinjam, cikgu!’

‘Baguslah pandai berikhtiar. Hmm, kat rumah saya pun banyak juga buku cerita. Awak boleh pinjam,’ memancing.

‘Membaca memang rajin, cikgu. Kadang-kadang sampai bertonyoh buku tu dekat matanya. Tapi, itulah, tiga empat hari ini liat benar dia nak pergi sekolah,’ sampuk emaknya lalu duduk terjelepok di muka pintu.

‘Ngapa Suhaimi?’ bertanya pula aku.

Suhaimi menunduk semula.

‘Benci, katanya. Tapi dia tak kata apa-apa pun,’ tokok emaknya.

Perempuan tua itu menoleh ke dapur. Dia berangguk-angguk main isyarat dengan anak gadisnya di dapur. Aku pura-pura tidak perasan. Kemudian Suhaimi dipanggil ke dapur. Sebentar lagi kudengar Suhaimi telah turun ikut pintu dapur. Entah ke mana dia. Tetapi aku yakin tentu dia disuruh ke kedai.

‘Puas dah mak cik pujuk dia tu. Tak mahu jugak dia ke sekolah,’ ujarnya tanpa diminta-minta lagi. ‘Dulu tak begini dia.’

Kembali aku teringat kisah minggu lalu. Ketika aku masuk mengajar, kudapati murid-murid berlari-lari ke tempat masing-masing. Di bangkunya Suhaimi menangkupkan muka. Menangis. Tentu ada murid yang nakal telah mengusiknya. Ketua darjah kutanya.

‘Lahom mengusiknya, cikgu!’

‘Lahom, berdiri!’ suaraku serius.

Lahom tersengih-sengih. Pucat. Dan lambat-lambat sekali dia berdiri. Semua murid senyap dan bersedia menanti hukuman yang bakal kujatuhkan terhadap Lahom yang terkenal nakalnya di darjah enam itu.

‘Benar awak mengusiknya?’

Angguk.

‘Jawab! Jangan main angguk macam burung tekukur,’ bentakku. Pantang besar bagiku melihat murid-murid berkelakuan bisu. Dan beberapa orang murid ketawa-ketawa kecil.

‘Ya, cikgu!’

‘Apa puncanya?’

‘Mulanya kami berbual-bual, cikgu.’

‘Kami tu, siapa-siapa dia?’ tanyaku. Tiga empat orang murid gusar mendengarnya.

‘Saya, Suhaimi ... err Majid dan ... dan Kamal,’ jawabnya.

‘Apa yang kamu bualkan?’

‘Kamal kata, bila dia dah besar, dia mau jadi juruhebah. Saya kata, saya nak jadi doktor. Kemudian Suhaimi menyampuk. Katanya dia nak jadi menteri.’

Lahom berhenti. Kepala yang tak gatal digaru-garunya. Matanya melingas memandang keliling. Tersengih-sengih seolah-olah mahu meminta bantuan daripada kawan-kawan lain.

‘Kemudian?’ desakku.

‘Di ... dia tumbuk saya dulu, cikgu!’ katanya tiba-tiba.

Suhaimi yang sejak tadi menangkup muka segera panggung kepala. Hidung kemeknya berdesut-desut menahan tangis.

‘Nanti dulu, keterangan awak melompat saja. Tadi awak dah mengaku mengusik Suhaimi. Tapi tentu ada sebab dia tumbuk awak, kan?’

Lagi sekali Lahom membelingas memandang teman-temannya. Makin berubah air mukanya.

‘Saya ... saya kata, Suhaimi tak boleh jadi menteri.’

Murid-murid semua ketawa. Lahom ikut ketawa. Cuma muka Suhaimi makin masam berbaur geram. Dan aku segera menyekat ketawa yang tidak perlu itu.

Senyap kembali.

‘Lahom, awak yakin apa yang awak cakap tu betul?’

Terdiam dia. Semua mata tertumpu padanya. Tapi dia bungkam terus.

‘Lahom orang perintah negeri dengan matakah atau dengan fikiran?’ Tepat-tepat mukanya kupandang.

‘De ... dengan fikiran,’ jawabnya lalu menunduk.

‘Bagus! Awak dah boleh berfikir sekarang. Kalau awak bercita-cita mahu jadi doktor, mulai dari saat ini awak mesti banyakkan sabar. Jangan suka megusik-usik orang. Dan yang mustahaknya tangan awak tu jangan pantas benar memukul orang.’

Dan kesempatan ini kugunakan menabur kempen nasihat terhadap murid darjah enam. Dan Lahom mengaku kesalahannya. Dia meminta maaf dari Suhaimi. Dan kembali murid-muridku bergaul mesra di bilik darjah.

Tidak kuduga perkara itu masih belum luput dari ingatan Suhaimi. Rupa-rupanya ejekan itu amat berkesan di jiwanya. Patutlah beberapa hari setelah itu, Suhaimi selalu memencilkan diri daripada kawan-kawannya dan kini keadaan Suhaimi sudah jelas bagiku.

Lama juga aku bercakap-cakap mengenai Suhaimi dan pelajaran dengan emaknya. Dalam perbualan itu terlintas di benakku mahu melaksanakan satu tindakan untuk kebaikan dan kemudahan Suhaimi.

‘Bagaimana mak cik kalau saya ajak Suhaimi tinggal di rumah sewa saya?’ akhirnya aku bersuara juga.

Tersentak juga orang tua itu. Segera matanya berkisar ke Suhaimi.

‘Ah, tak payahlah, cikgu. Buat susah saja!’

‘Begini mak cik,’ kataku belum putus harap lagi. ‘Saya pun tinggal seorang saja di rumah tu. Kalau Suhaimi ada bersama saya taklah sunyi benar. Tambahan pula sekolah dekat. Tak payah lagi Suhaimi berulang-alik ke sekolah dekat tiga batu jauhnya. Lagipun sungai tu bahaya benar apabila budak-budak menyeberangnya.’

Emaknya tidak dapat beri keputusan. Aku balik saja. Dan berjanji akan ke rumahnya lagi pada lusanya.

Tidaklah sia-sia aku datang di kali keduanya. Suhaimi dibenarkan oleh emaknya tinggal bersama-samaku. Dan sudah tentu aku amat gembira. Dan di rumah sewaku Suhaimi makin tambah rajin belajar. Cuma satu yang kubimbangkan. Dia membaca terlalu dekat buku dengan matanya.

Dan setiap minggu pula kubenarkan dia pulang menemui emak dan kakaknya. Biar dia bermesra dan menolong mereka pula.

Selang dua bulan kemudian, kudapati keadaan matanya makin bertambah buruk. Satu hari kubawa dia ke bandar. Dia sungguh seronok naik skuter dalam perjalanan sejauh hampir lima puluh batu itu. Dan kagum benar dia melihat kesibukan bandar. Menurutnya itulah julung-julung kalinya dia menjejak bandar ibu negeri itu.

Kemudian, kubawa dia masuk ke sebuah kedai cermin mata.

‘Cikgu nak beli cermin mata hitam?’ tanyanya.

Aku tidak menjawab. Senyum cuma.

‘Awak mahu pakai cermin mata?’ tanya pula aku.

Giliran dia pula terdiam.

‘Mari,’ kuseret tangannya. Kemudian berkata-kata dengan Cina kedai.

Dia menurut sahaja. Kami masuk ke sebuah bilik gelap di kedai itu. Suhaimi disuruh duduk atas kerusi khas. Pesawat kerusi ditekan, dan kerusi itu bergerak naik. Mata Suhaimi sudah didekatkan ke alat moden itu. Dan disuruh melakukan sesuatu. Dan beberapa kali Cina kedai itu menyuruhnya membaca.

Petang itu juga sebuah cermin mata putih tebal, berbingkai hitam sudah dapat dipakainya.

‘Terang cikgu, saya boleh melihat dengan terang,’ melonjak riang.

Lewat petang baru kami sampai ke rumah. Hujan pula. Keinginan Suhaimi mahu menunjukkan cermin mata itu pada emak dan kakaknya terbantut. Esok saja, kataku cuba menyabarkannya.

Dan esok pagi-pagi lagi dia sudah bersiap. Aku tidak melarangnya. Cuma pesanku: ‘Balik petang ni jugak. Esok sekolah.’ Dan dia kulepaskan tanpa menaruh curiga apa-apa.

Akan tetapi, di senja itu aku dipagut bimbang. Suhaimi masih tidak muncul-muncul juga. Mengapa agaknya? Ke mana dia singgah agaknya? Di kala itu seorang murid tercungap-cungap memberitahuku.

‘Cikgu, Suhaimi mati lemas.’

Bagaikan apa-apa aku panik mendengarnya. Kemudian aku bergegas ke sungai.

Menurut emaknya, Suhaimi gembira benar dengan cermin mata pemberianku itu. Tidak habis-habisnya dia memuji aku. Kemudian dia mahu balik semula. Tapi emaknya menahan. Minta dia tidur semalam. Tapi Suhaimi berkeras juga. Cikgu suruh balik petang ini juga, katanya.

Tak sempat makan petang lagi, dia sudah berlari-lari ke sungai. Dia menyeberang seorang diri saja. Di tengah-tengah sungai dia terserempak dengan sebatang kayu hanyut. Dia cuba mengelak. Tetapi terlambat. Arus sungai deras. Sampannya karam dilanggar kayu. Dan dia tercampak menjerit minta tolong. Tapi tak ada siapa dapat menolongnya.

Lewat tengah malam, gerakan mencari mayat Suhaimi baru diberhentikan. Aku dan Wak Mardi telah menjumpai mayatnya kira-kira dua batu dari tempat berlakunya kemalangan. Dan cermin mata putih tebal, berbingkai hitam kesayangannya telah tiada lagi.

(Berita Minggu,19 Mei 1969)

Thursday, October 1, 2009

KATA ADJEKTIF

Ø Dikenali sebagai kata sifat.

Ø Perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif.

Ø Boleh terdiri daripada hanya satu kata adjektif atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif dan unsur-unsur keterangan yang lain seperti kata bantu atau kata penguat.

Ø Dapat dikenal pasti dan dibezakan daripada kata nama atau kata kerja dengan cirinya yang boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat.

Ø Contohnya: amat sakit, sakit sungguh, terlalu banyak,

Menerangkan keadaan atau sifat bagi sesuatu kata nama atau frasa nama. Perhatikan contoh-contoh ayat yang berikut:

  • Ali sangat pandai.
  • Orang muda itu baik sungguh .
  • Malam ini gelap benar.

Jenis Kata Adjektif

i. Kata Adjektif Sifatan atau Keadaan.

Terdiri daripada perkataan yang memberi pengertian sifatan atau keadaan sebagai unsur keterangan nama.

Contoh: baik, cerdas, lemah, kasar

ii. Kata Adjektif Warna

Terdiri daripada perkataan yang membawa pengertian warna sebagai unsur keterangan.

Contoh: putih, merah, kuning, ungu

iii. Kata Adjektif Ukuran

Jenis perkataan yang membawa pengertian ukuran sebagai unsur keterangan.

Contoh: panjang, pendek, kecil, besar

iv. Kata Adjektif Bentuk

Jenis perkataan yang membawa pengertian rupa bentuk sebagai unsur keterangan.

Contoh: bulat, bengkok, lurus , bundar

v. Kata Adjektif Waktu

Jenis perkataan yang membawa pengertian konsep masa sebagai unsur keterangan.

Contoh: baharu, lama, lambat, awal

vi. Kata Adjektif Jarak

Jenis perkataan yang membawa pengertian konsep ruang antara dua bentuk atau keadaan sebagai penerang kata nama.

Contoh: jauh, hampir, dekat, rapat

vii. Kata Adjektif Cara

Jenis perkataan yang membawa pengertian keadaan kelakuan atau ragam, sebagai penerang kata nama.

Contoh: cepat, deras, laju, lambat

viii. Kata Adjektif Perasaan

Perkataan yang membawa pengertian konsep perasaan, sebagai penerang kata nama dan diikuti oleh kata sendi nama.

Contoh: rindu, benci, segan, cinta

ix. Kata Adjektif Pancaindera

Perkataan yang membawa pengertian konsep rasa, pandang, dengar, bau, sentuh, atau gabungan kelima-lima indera, sebagai penerang kata nama.

Deria rasa: sedap, manis, pahit, masin, lazat, tawar

Deria pandang: cantik, molek, hodoh, tampan, comel, kacak

Deria dengar: bising, merdu, serak, nyaring, lunak, garau

Deria bau: harum, wangi, tengik, busuk, hanyir, hapak

Deria sentuh: halus, licin, kasar, keras, lembut, kesat

Gabungan deria: Bersih (pandang + bau)

Selesa (sentuh + pandang)

Tenteram (dengar + pandang)

Wednesday, September 30, 2009

SIHAT: Kanak-kanak hidap celaru mental tidak wajar disisih


Mangsa ADHD biasanya nakal dan malas sering ditempatkan dalam kelas paling corot kerana dianggap bodoh.

DICOP sebagai nakal dan malas, kanak-kanak yang tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas, sering mengganggu rakan lain dan gagal menyiapkan kerja sekolah, sering kali dipinggirkan tanpa mendapat bantuan sewajarnya.

Akibat kurang pengetahuan mengenai kesihatan mental di kalangan guru dan ibu bapa, kanak-kanak berkenaan yang sebenarnya menghidap Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD), terus menjadi mangsa apabila mereka ditempatkan di kelas paling corot kerana dianggap tidak lebih sebagai ‘bodoh’.

Pensyarah Kanan dan Psikiatri Kanak-Kanak Remaja dan Dewasa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Subash Kumar Pillai, berkata amat penting merawat kanak-kanak ADHD pada peringkat awal kerana tanpa rawatan, mereka berisiko membesar sebagai remaja bermasalah tingkah laku. Ia juga menyebabkan beberapa masalah sampingan seperti perasaan rendah diri dan personaliti.

“Tanpa rawatan awal, lebih separuh iaitu 70 hingga 80 peratus daripada kanak-kanak ADHD tidak akan berjaya dalam akademik. Kira-kira 32 hingga 40 peratus tidak dapat menamatkan persekolahan mereka, lima hingga 10 peratus tidak dapat melanjutkan pelajaran ke kolej dan 40 hingga 50 peratus terbabit dalam kegiatan antisosial seperti samseng, mat rempit, kehamilan tidak dikehendaki atau masalah jangkitan penyakit kelamin,” katanya ketika ditemui pada seminar masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak sekolah anjuran Unit PAC, PPUM, baru-baru ini.

Turut hadir merasmikan seminar berkenaan, Pengarah PPUM, Prof Ikram Shah Ismail dan Pemangku Ketua Perubatan Psikologi PPUM, Dr Muhd Muhsin Ahmad Zahari.

Bagaimanapun, katanya, guru dan ibu bapa tidak berkemahiran untuk mengesan ADHD kerana gejalanya yang kurang jelas. Kanak-kanak ADHD lazimnya nampak normal dan kenakalan juga dianggap perkara biasa di kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun ia bukan lagi normal bagi kanak-kanak yang berusia enam tahun ke atas.

“ADHD adalah salah satu masalah mental, tetapi ia bukanlah penyakit mental sepenuhnya dan tiada kaitan langsung dengan kegilaan. Otak kanak-kanak ADHD terlalu cergas mengakibatkan pergerakan fizikalnya terlalu aktif dan hanya diam apabila mereka tidur saja. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas ketika guru mengajar,” katanya.

Dianggarkan ADHD berlaku ke atas seorang bagi setiap 10 kanak-kanak. Berdasarkan kajian yang dibuat Unit Psikiatri Remaja dan Kanak-Kanak PPUM (Unit PAC) ke atas lima sekolah rendah sekitar Petaling Jaya pada 2000, terdapat sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak ADHD dalam setiap kelas iaitu antara satu hingga tujuh peratus bagi setiap sekolah, manakala kanak-kanak berisiko lima hingga 15 peratus untuk mengalaminya akibat tekanan persekitaran atau cara mereka dibesarkan.

Disebabkan ADHD mempengaruhi genetik, seorang bapa boleh mewariskan sindrom itu kepada anak lelaki mereka. Keadaan itu juga menjadikan kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami ADHD sebanyak tiga kali ganda berbanding budak perempuan.

PAC juga menjalankan program mengenal pasti kanak-kanak bermasalah di lima sekolah rendah di Sekolah Rendah Pusat Bandar Puchong, Viviekananda, Datuk Harun I dan II dan Cheng Mo. Program berkenaan mengajar guru mengenal pasti tanda awal ADHD dan merujuknya kepada PAC bagi memberikan rawatan kepada pelajar terbabit. Rawatan berbentuk kapsul perangsang bagi membantu memfokuskan otak mereka.

“Sehingga pertengahan tahun lalu, kira-kira 50 pelajar Tahun 1 dan 2 menerima rawatan. Mereka ini kebanyakannya ditemui di dalam kelas D atau kelas paling corot. Hasilnya memberangsangkan apabila pelajar mula memberikan tumpuan di dalam kelas. Bagaimanapun, ada ibu bapa yang enggan menghantar anak mereka untuk dirawat akibat stigma negatif terhadap penyakit mental yang menganggap masalah mental sebagai penyakit orang gila,” katanya.

Selain ADHD, ada satu lagi keadaan yang dikenali sebagai Gangguan Kecelaruan Tumpuan (ADD) yang tidak jauh bezanya dengan ADHD. Bezanya, kanak-kanak ADD tidak terlalu aktif, lebih suka bersendirian dan tidak boleh menumpukan perhatian pada pembelajaran. Mereka juga lambat dalam melakukan sesuatu seperti makan dan mandi selain bilik tidur yang bersepah.

Sementara itu, Prof Ikram dalam ucapannya, berkata tujuan seminar berkenaan dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran kepada guru dan ibu bapa mengenai pentingnya kesihatan mental dan memberikan pemahaman mengenai kesukaran kesihatan mental di kalangan kanak-kanak sekolah.

“Kesihatan mental kanak-kanak adalah kunci kesihatan mereka. Orang dewasa khususnya ibu bapa kerap lepas tangan walaupun sedar kanak-kanak berkenaan memerlukan rawatan. Ramai menganggap ia akan hilang apabila dewasa sedangkan hakikatnya ia boleh menjurus kepada masalah lebih serius,” katanya.

Kesihatan mental berkaitan dengan cara kita berfikir, merasa dan berkelakuan. Ia penting dipupuk terutama ketika kanak-kanak masih kecil. Pengalaman ketika kecil membina dan memperkukuhkan kesihatan mental. Ia menentukan asas kesihatan fizikal dan mutu kehidupan seseorang di masa depan. Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 20 peratus daripada populasi kanak-kanak mempunyai masalah kesihatan mental. Ramai antaranya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan sewajarnya.

Tuesday, September 8, 2009

SATU BAHASA SATU BANGSA

Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ``Bahasa Jiwa Bangsa''.

Ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan.

Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.

Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri - dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pascakolonialisme.

Perlu ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan - bukannya bahasa-bahasa asing.

Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Justeru, kita dituntut menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing. Ini bukanlah budaya bangsa yang maju. Bangsa yang maju-moden perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesukuan) dan setia pada nusanya yang satu.

Secara jujur, perlu diakui bahawa kita belum mematuhi acuan tersebut. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia. Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya.

Persoalannya, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta.

Malah, bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam segenap bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden.

Oleh itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting - selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ``satu bahasa, satu bangsa, satu nusa'', jelas tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun.

Di sini terletaknya peranan bahasa kebangsaan dalam rancangan merealisasikan Wawasan 2020. Sekiranya kita mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa kebangsaan, ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri.

Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing.

Justeru, akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka sendiri?

Penting

Sehubungan itu, kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda.

Pertama, sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Justeru, bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina dan India yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu juga. Lebih penting lagi, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan orang Cina-India yang telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Kedua, apabila orang Cina-India telah diberikan hak kerakyatan dan menjadi warganegara yang sah, taraf bahasa Mandarin-Tamil dengan sendirinya menjadi bahasa asing kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi-kebangsaan China dan India. Ini juga bermakna bahasa Mandarin-Tamil bukanlah bahasa ibunda mereka lagi kerana mereka telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Alangkah anehnya, mereka diterima menjadi warganegara (seterusnya Malaysia), tetapi mereka masih mengatakan bahasa Mandarin-Tamil sebagai bahasa ibunda mereka. Ketersilapan ini perlu diperbetulkan hatta dalam perlembagaan negara sekalipun!

Jika ditinjau semula akar sejarahnya, sejak 1957, (lihat pecahan fasal Perkara 153) kesilapan ini tidak pernah dipinda, walhal bercanggah dengan hakikat sejarah kenegaraan Malaysia. Kesilapan inilah yang menjadi antara pemunca utama yang mengakibatkan peranan bahasa kebangsaan terus ditenggelami oleh gerakan mendaulatkan bahasa-bahasa asing, khasnya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Oleh itu, saranan dan gesaan mujahid-mujadid bahasa kebangsaan (seperti Gapena dan Awang Sariyan dalam Mingguan Malaysia, 5 Mac 2006) amatlah wajar dilaksanakan secara tuntas. Masanya telah hampir-hampir nazak, tetapi belum lagi terlambat. Keazaman politik amat diperlukan.

Jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, bahasa asinglah yang beruntung kerana ia akan terus kekal sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden; sebaliknya bahasa Malaysia akan terus mundur dan `mandul' di negaranya sendiri.

Perlu ditegaskan bahawa kita bukan antibahasa asing. Prinsip kita jelas dan tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.




Monday, August 24, 2009

Kurikulum Kebangsaan

Kurikulum Kebangsaan adalah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

6 Teras Strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan:

· Membina Negara Bangsa

· Membangunkan Modal Insan

· Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

· Merapatkan Jurang Pendidikan

· Memartabatkan Profesion Perguruan

· Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan




Wawasan dan Misi Pendidikan Negara


Wawasan dan misi
sistem pendidikan di Malaysia bermatlamat untuk menjadikan institusi dan gerak kerja pendidikan sebagai pusat pembangunan manusia cemerlang, sebagai sumber pemantapan nilai-nilai murni bangsa, sebagai arena penyuburan watak masyarakat penyayangdan sebagai kerangka penghayatan semangat cintakan negara.


Kata mutiara

" USAH DITURUTI REAKSI EMOSI,

LANTARAN IMPLIKASI TAK SERASI DENGAN APA YANG DIIMAGINASI "

Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca

kerana membaca itu sumber hikmah,

menyediakan waktu untuk tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa,

menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,

menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan,

menyediakan waktu untuk bersenda

kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan

menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu daripada

segala ketenangan jiwa.

Hadiah terbaik kepada;

Kawan - Kesetiaan

Musuh - Kemaafan

Ketua - Khidmat

Orang muda - Contoh terbaik

Orang tua - Hargai budi mereka dan kesetiaan

Pasangan - Cinta dan ketaatan

Manusia - Kebebasan